Kerjaya Pemandu Lokomotif


RISIKO seorang pemandu lokomotif sama 'bebannya' dengan tugas seorang juruterbang, kata Noorzaini Musa, 23.
"Pada satu-satu masa, penumpang memenuhi semua gerabak dan ratusan nyawa berada di bawah tanggungjawab kita," kata Noorzaini yang menepis tanggapan bahawa pemandu lokomotif adalah kerjaya kelas ketiga dan tidak memerlukan komitmen yang sewajarnya ketika bekerja.
Sehari 'bertugas' dengannya yang ketika itu sedang memandu tren dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang memakan masa kira-kira tiga jam perjalanan, penulis menyaksikan sendiri kebenaran hujah-hujah Noorzaini.
Ikuti temu bual wartawan MAZLINA ABDUL MAJID bersama jurufoto SHAIFUDIN MOHD. NOR mengenai pilihan kerjaya remaja ini yang juga merupakan pemandu lokomotif termuda di syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Mengapa anda memilih kerjaya sebagai pemandu lokomotif, sedangkan ia bukanlah kerjaya pilihan remaja sekarang?
Noorzaini: Ramai berkata pekerjaan ini merupakan 'kerjaya purba' tetapi saya tidak menganggap sedemikian. Anda perlu mengenali kerjaya ini terlebih dahulu barulah boleh buat kesimpulan. Rumusan yang boleh saya nyatakan adalah risiko bekerja sebagai seorang pemandu lokomotif adalah setara dengan seorang juruterbang. Meskipun kalau berbicara tentang gaji, ia agak berbeza.
Anda menyebut tentang risiko. Boleh nyatakan persiapan untuk berhadapan dengan sebarang risiko?
Saya perlu sentiasa bersiap sedia 24 jam sehari meskipun jadual telah disusun.
Justeru, saya kena pastikan fizikal dan mental saya berada dalam keadaan tenang. Untuk itu, saya mengamalkan pemakanan yang sihat. Pernah satu ketika, saya dipanggil secara mengejut pada awal pagi untuk menggantikan rakan yang ada kecemasan.
Pada masa yang sama, saya juga mesti memastikan enjin lokomotif berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Jika tidak berbuat demikian, nescaya ia boleh mengganggu perjalanan penumpang yang sentiasa ingin sampai tepat pada waktunya.
Selain itu, sebagai pemandu yang bertanggungjawab, keadaan landasan juga harus dipantau pada setiap masa. Saya dibantu oleh pembantu pemandu setiap kali melakukan perjalanan.
Kelulusan yang diperlukan untuk bergelar pemandu lokomotif?
Saya menyertai kursus dalam bidang elektrikal kelolaan KTMB selama dua tahun. Bidang pilihan saya ialah pemandu lokomotif. Kemudian, saya menjalani latihan praktikal memandu tren dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Prai, Ipoh, Gemas, Kuala Lipis, Tumpat dan Singapura.
Kini, saya telah bekerja di bidang ini selama tiga tahun. Seperkara lagi, keinginan melibatkan diri dalam kerjaya ini mungkin disebabkan generasi keluarga saya yang bekerja di KTMB.
Pengalaman semasa sedang bertugas?
Kejadian melanggar lembu adalah perkara yang pernah saya lalui. Tidak silap saya, hampir tiga hingga empat kali. Lembu berkenaan tercampak dari landasan tetapi saya lebih bimbang jika terlanggar kerbau. Ini kerana tanduk kerbau yang keras boleh menjejaskan kereta api.
Saya sentiasa mengingatkan penceroboh agar jangan sesekali memusnahkan pagar di stesen kereta api. Ini kerana ia bukan sahaja boleh meragut nyawa binatang, malah boleh membahayakan nyawa manusia.
Bagaimana anda boleh terlibat secara langsung dalam kerjaya ini?
Sewaktu saya kecil, hampir setiap hari saya mendengar bunyi kereta api. Sejak itu, minat saya mula timbul untuk menceburi kerjaya ini. Melihat para pekerja berulang-alik ke stesen kereta api, ia turut mengukuhkan minat saya. Secara kebetulan juga, bapa saya bekerja di KTMB. Kemudian, abang saya berjaya dalam satu temu duga untuk menjadi pemandu lokomotif. Saya mengikut rentaknya dan setelah mengikuti beberapa kursus kelayakan, saya berjaya mendapat apa yang saya cita-citakan. Ini juga bermaksud, saya menjadi generasi ketiga dalam keluarga mewarisi pekerjaan di KTMB.
Pesanan kepada mereka yang menganggap kerjaya ini tiada masa depan?
Tidak kenal maka tidak cinta. Memang perasaan itu pernah menguasai diri saya, namun selepas menceburinya, saya beriltizam supaya generasi keluarga saya yang seterusnya akan memilih kerja ini.

No comments

Powered by Blogger.