MANFAATKAN CUTI SEKOLAH DENGAN EKSPLORASI KERJAYA

         Minggu ini adalah minggu pertama cuti akhir tahun persekolahan 2013. Semua pelajar tentu seronok dan teruja melalui hari-hari tanpa perlu bergegas ke sekolah pada awal pagi. Kesempatan ini akan diambil oleh para ibu bapa untuk membawa anak-anak bercuti di tempat-tempat menarik samada dalam negeri mahupun luar negara. Apa pun yang dilakukan adalah terbaik untuk memberikan anak-anak kerehatan minda dan pengalaman mengembara untuk menambah ilmu pengetahuan. 

        Peluang mengembara di tempat-tempat percutian ini seharusnya diambil manfaat oleh ibu bapa untuk membuat sedikit eksplorasi bersama anak-anak dengan membuka minda mereka perihal kerjaya orang-orang di sekeliling mereka. Katakanlah kepada anak-anak bagaimana orang-orang yang berjaya membangunkan tempat peranginan atau pelancongan tersebut. Kaitkan apakah kerjaya yang terlibat dan bagaimana mereka membina kecemerlangan tersebut. Contohnya jika kita pergi ke Pulau Langkawi, kita akan dapat melihat keindahan pembangunan di pulau tersebut. Pembangunan pulau tersebut tentulah berlaku dengan perancangan yang teliti dan sistematik. Tentulah ada orang yang terlibat merancang pembangunan pulau tersebut dan ibu bapa boleh kaitkan kerjaya yang terlibat supaya anak-anak celik minda dan akal untuk mengimpikan kerjaya tersebut. Apabila kita menginap di hotel atau chalet dan sebagainya, kita boleh bercerita kepada anak-anak akan peluang kerjaya dalam bidang perkhidmatan yang melibatkan industri perhotelan. Perkhidmatan dan perusahaan ini mendapat pulangan yang terbaik sebagai kerjaya pada masa depan. Sematkan di minda anak-anak akan peluang kerjaya dalam bidang perniagaan apabila kita mengunjungi kawasan perniagaan seperti Pekan Kuah, Padang Matsirat dan sebagainya. 

      Jika anak kita masih diperingkat persekolahan, biarkan mereka berfikir dan mungkin mereka akan berminat untuk memilih bidang yang ada hubungkait dengan industri pelancongan apabila melanjutkan pelajaran di IPT kelak. Banyak peluang kerjaya yang boleh diceburi atau dicipta bersesuaian dengan Industri Pelancongan dalam negara kita.  Ini adalah salah satu cara bagaimana kita dapat memanfaatkan percutian tersebut di samping juga kita membuka minda anak-anak untuk perkembangan kerjaya mereka pada masa depan. Pendedahan secara tidak langsung ini umpama mengukir dan membentuk satu acuan masa depan untuk anak-anak. Selamat bercuti....







No comments

Powered by Blogger.